Sabtu, 11 Oktober 2014

CABARAN-CABARAN DALAM PEMBANGUNAN INSAN DALAM SISTEM PENDIDIKAN

Sebagai status negara yang sedang membangun, Malaysia sememangnya menghadapi pelbagai cabaran dari segenap penjuru dari segi aspek sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.Namun begitu, pemimpin negara tidak memandang cabaran-cabaran yang perlu kita hadapi ini peluntur semangat malahan beliau melihatnya sebagai satu cara untuk membangkitkan semangat negara bangsa agar bergerak lebih maju kehadapan. Supaya modal insan yang berintelektual dapat dilahirkan, kerajaan perlu menghadapi cabaran yang paling menguji tahap pemikiran kita iaitu cabaran daripada aspek pendidikan. Pendidikan merupakan perkara yang terpenting sekali dalam kehidupan masyarakat di dunia ini kerana dengan pendidikan kita mampu untuk menaikkan nama negara agar dapat diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ia juga penting untuk membina jati diri modal insan yang berkualiti tinggi yang berkemungkinan akan memimpin negara pada suatu hari nanti.
          Cabaran paling utama yang perlu dihadapi oleh pihak kerajaan dari aspek pendidikan ialah cabaran dalam menghadapi kelemahan penguasaan kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Antara contoh yang paling ketara adalah kelemahan pelajar sekolah untuk menulis dan membaca tulisan jawi bagi subjek wajib yang perlu diduduki oleh pelajar Islam iaitu Pendidikan Islam serta kelemahan penguasaan bahasa Melayu bagi pelajar bukan Islam dan bahasa Inggeris bagi matapelajaran lain. Kerajaan menyarankan agar kemahiran 3M ini dapat dikuasai oleh pelajar sekolah sebagai satu cara untuk meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan di samping penjanaan nilai-nilai pembelajaran dapat diserap dan dibentuk dalam diri pelajar-pelajar. Di samping itu, ia merupakan satu langkah untuk memperkasa sekolah kebangsaan agar tahap kecemerlangan pelajar sekolah dapat ditingkatkan dengan mewajibkan semua pelajar Tahap 1 dapat menguasai kemahiran 3M.
          Cabaran seterusnya yang tidak kurang hangatnya ialah cabaran untuk mewujudkan rakyat berminda kelas pertama. Bagi mewujudkan rakyat berminda kelas pertama semuanya bermula dari institusi pendidikan iaitu sekolah dan institusi pengajian tinggi. Rakyat yang berminda kelas pertama ialah rakyat yang mempunyai kualiti dalam semua aspek kehidupan baik dari segi pendidikan, tingkah laku (moral), pekerjaan, cara berfikir dan bertindak, kesedaran sivik yang tinggi serta sedar peranan mereka kepada agama, masyarakat dan negara. Rakyat yang hanya mengutamakan hiburan dan keseronokan semata-mata, kurang kesedaran sivik serta tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan tulus kepada agama, masyarakat dan negara sudah terang lagi bersuluh tidak mampu untuk menyandanggelaran rakyat berminda kelas pertama. Ciri-ciri yang diimpikan oleh kerajaan untuk melihat rakyatnya mempunyai minda kelas pertama ialah rakyat yang berilmu pengetahuan tinggi dan berkeperibadian mulia. Dengan adanya pemikiran kelas pertama yang wujud dalam kalangan generasi muda zaman kini, ia sekaligus membuatkan penerapan nila-nilai pembangunan insan yang berkualiti dapat dilaksanakan dengan lebih mudah.
          Selain itu, cabaran yang tidak kurang pentingnya ialah cabaran untuk menangani masalah kurang membaca dalam kalangan pelajar. Sekiranya seseorang pelajar itu kurang mencintai amalan membaca, itu bermakna kurang juga kecintaan mereka terhadap ilmu kerana dengan amalan suka membacalah ilmu dapat diterokai dengan lebih meluas. Jika dilihat dari perspektif yang lebih mendalam, lama-kelamaan hal ini akan menyebabkan lahirnya masyarakat yang mundur disebabkan kurangnya amalan membaca dalam kalangan rakyat. Manakala bagi graduan pusat pengajian tinggi pula, sesetengah daripada mereka hanya mempraktikkan amalan membaca hanya untuk peperiksaan dan hanya kepada subjek yang berkaitan dengan bidang pengajian mereka sahaja. Bagi bahan bacaan yang di luar bidang pengajian mereka, mereka menganggap itu tidak sepenting subjek yang berkaitan dengan bidang pengajian mereka. Generasi muda yang kerap mengamalkan budaya membaca sememangnya berkemampuan untuk menjadi modal insan yang membangun dan berkualiti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan